Photobucket

Wednesday, April 7, 2010

Belasungkawa : Allahyarham TUN (DR) HJH FATIMAH BT HAJI HASHIM (25 . 12 . 1924 - 8 . 01 . 2010)

TANGGAL 8hb Januari 2010 bersamaan 23hb Muharram 1431H, menjadi sejarah apabila Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita yang gigih, sementara Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar pula kehilangan seorang anak kariah yang banyak mencurahkan khidmat bakti dan berterusan menghulurkan sumbangan kepada dana masjid. Pada jam 11.35 malam, Yang Amat Berbahagia Tun Hjh (Dr) Fatimah Binti Hj Hashim telah kembali ke Rahmatullah dalam keadaan tenang dengan dikelilingi anak-cucu di kediamannya di Bangsar. Beliau berusia 85 tahun. 

Allahyarham Tun (Dr) Fatimah pernah berjuang menuntut kemerdekaan negara,menabur berbagai jasa bakti sejak usia muda ketika menjadi ahli politik, berusaha dengan penuh semangat dalam meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya untuk kebajikan kaum wanita dari berbilang bangsa ketika menjadi menteri wanita pertama negara, dan ketika menerajui badan-badan wanita di peringkat nasional seperti NCWO. 

Selepas meninggalkan arena politik, Allahyarham Tun Fatimah mencari ketenangan hidup bersama suami, Yg Bhg Tan Sri Abd Kadir Yusof (Allahyarham) dengan meluangkan masa menunaikan solat waktu berjemaah di masjid ini. Selain menghadiri Majlis Bacaan Yasin anjuran wanita, beliau mengikuti kelas-kelas pengajian yang diadakan di rumah-rumah kediaman di sekitar masjid. Dalam keadaan itu minat beliau timbul untuk membantu menubuhkan satu badan untuk kamu wanita sahaja bagi menyusun aktiviti yang sedia ada agar lebih mantap dan tersusun. 

Allahyarham Tun bukan sahaja pernah bergandingan dengan suami beliau, sebagai pasangan pertama menganggotai Parlimen, bahkan pasangan ini pernah sama-sama duduk semeja dalam mesyuarat Jawatankuasa Kariah masjid ini, membincangkan cara menyerapkan aktiviti anjuran wanita sebagai sebahagian aktiviti di masjid. Ketika itu Allahyarham Tan Sri Abd Kadir menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid ini (Beliau bertugas selama satu tahun tiga bulan, bermula pada bulan Januari 1991 dan tamat apabila beliau meninggal dunia pada bulan April 1992). 

Tun (Dr) Fatimah, (ketika itu bergelar Tan Sri) telah bertindak mempengerusikan Jawatankuasa Pemulihan Persatuan Kebajikan Islam Bukit Bandaraya, dan menubuhkan. Pergerakan (Kebajikan) Wanita Islam Bangsar, PERWlBA. Di bawah pengawasan beliau PERWIBA telah membuka kuliah-kuliah pengajian Islam seperti tajwid Al-Quran, Bahasa Arab, Fardu Ain, Tafsir Al-Quran, Tafsir Hadith dan Harfiyah. Ini diselangi dengan ceramah ceramah umum atau ceramah kesihatan untuk tujuan pembangunan wanita setempat. Beliau juga menggalakkan silaturrahim antara wanita di dalam kariah melalui kumpulan ‘Yasin’ dan Berzanji agar mereka dapat berkenalan dan saling membantu antara satu sama lain. Tun (Dr) Fatimah bertindak sebagai Penaung dan Penasihat PERWIBA .

Selama lima belas tahun (1989 - 2004). PERWIBA kini dikenali sebagai Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Wanita Masjid. Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, dan ahli kariahnya terutama dari kalangan wanita berasa terhutang budi di atas keperihatinan, dorongan dan tunjuk ajar yang diberikan sehingga berbagai kegiatan bermanfaat dapat berjalan hingga ke hari ini demi anak kariah masjid dan menjadi contoh ikutan muslimat di masjid-masjid lain. 

Rumah No. 37 Jalan Tempinis Lucky Garden (berkembar dua tingkat) yang telah diwakafkan Kepada Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Bangsar semenjak 1991 oleh AY Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan AY Tun Fatimah akan menjadi amal jariah mereka selama-lamanya. 

Keseluruhan hasil sewaan daripada rumah itu di masuk kepada Tabung Masjid dan juga sebagai sumbangan kepada program-program tertentu yang di persetujui oleh Lembaga Pemegang Amanah. 

Nukilan: Datin Habibah Yahya 
(9 Jan. 2010/23 Muharram 1431) 

1 comment:

Anonymous said...

valium online canada drug interactions between valium xanax - valium generalized anxiety disorder