Photobucket

Friday, August 19, 2011

I'tikaf Meraih Malam Al Qadr

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Dalam perjalanan kehidupan ini manusia sentiasa memerlukan dua perkara :

PERTAMA :
Penilaian diri untuk melihat sejauhmanakah sudah perjalanannya dan seperti apakah harapan-harapan yang telah dicapainya.

KEDUA ;
Mendapatkan tenaga untuk meneruskan perjalanan dan harapan-harapan yang belum dapat dicapainya.

Kedua-dua keperluan ini iaitu penilaian diri dan mendapatkan tenaga akan dapat kita penuhi ketika kita melakukan sebuah aktiviti dalam bentuk "I'tikaf" di Masjid.

Inilah Rahsia mengapa I'tikaf menjadi sebuah aktiviti yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah saw sejak pertama kali disyariatkan puasa sehingga beliau wafat.
Dalam rangkaian ayat-ayat tentang puasa yang Allah sebutkan dari ayat 183 –187 dalam surah Al-Baqarah, I'tikaf menjadi salah satu amal yang menjadi keutamaan untuk dilakukan selama bulan Ramadhan.

Dalam kaitan dengan fungsi penilaian diri, sesungguhnya waktu I'tikaf adalah saat yang paling tepat untuk kembali membangun semula perjalanan hidup kita untuk satu tahun kehadapan kerana di saat itulah kita terlepas dari segala aktiviti dunia dan penumpuan dalam melakukan ibadah dan merenung semula akan perjalanan hidup kita kerana antara aktiviti taqarrub kepada Allah dan usaha merenung ke dalam diri ada kaitan yang sangat erat , iaitu bahwa manusia, ketika melakukan ibadah yang bersungguh-sungguh akan memiliki kelembutan jiwa dan ketika jiwanya lembut maka dia akan lebih mudah untuk menyedari keadaan dirinya dan melakukan pembaikan ke atas kekurangan dan kesalahan-kesalahannya selama ini.

Inilah yang telah di isyaratkan oleh Allah swt :

"Wahai orang-orang beriman.! bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah dipersiapkan untuk hari esok(akhirat),dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah maha teliti terhadap apa yang kamu kerjakan".(QS Al-Hasyr :18)
Dalam kaitan bagi mendapatkan tenaga, I'tikaf merupakan waktu yang penuh dengan hari dan malam yang istimewa kerana di malam-malam dan hari-hari tersebut, orang yang melakukan I'tikaf akan memiliki kekuatan ibadah yang luar biasa dalam bentuk istighfar, tasbih, tahmid, takbir, tilawah dan berbagai macam ketaatan yang lain dan ini merupakan modal tenaga dan kekuatan yang sangat luar biasa kerana aktiviti ini akan berpengaruh kepada penambahan kekuatan dan tenaga dari Allah swt.

"Wahai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa." (QS Hud : 52)
I'TIKAF DAN LAILATULQADR

Dalam pembahasan para ulama', salah satu sebab mengapa Rasulullah saw dan para sahabat begitu bersemangat dan teruja melakukan I'tikaf , iaitu dalam rangka meraih Lailatul Qadr kerana kaitan antara I'tikaf dan Lailatul Qadr begitu erat sekali dari sudut pandangan anugerah dan waktu.

Dari sudut anugerah, Lailatul Qadr merupakan sesuatu yang berharga yang mesti dicari dan diraih.

Dari sudut waktu, Lailatul Qadr merupakan saat yang mesti diisi kerana malam itu malam yang teristimewa berbanding malam-malam yang lainnya.

Di antara anugerah besar yang Allah swt berikan kepada kaum muslimin pada malam itu adalah anugerah penentuan taqdir-taqdir manusia untuk satu tahun kehadapan sebagaimana yang dijelaskan dalam Tafsir Ibnu Katsir.

Allah swt berfirman :
"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam yang diberkati, sungguh Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan dengan penuh hikmah"(QS Ad-Dukhaan : 3-4)
Tentulah akan ada perbezaan antara penentuan taqdir Allah swt kepada orang-orang yang pada malam tersebut mengisi waktunya dengan taqarrub dan ketaatan dengan orang yang disibukkan dengan dunia.
Allah swt pasti lebih suka orang yang beribadah dari pada orang yang lalai dan bermaksiat kepadanya pada saat Dia menentukan taqdir-taqdirNya.

MATERIAL DAN KEROHANIAN

Permohonan dan munajat yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah saw yang mesti kita perbanyakkan adalah permohonan yang bersifat kerohanian berupa pencerahan jiwa bukan sesuatu yang bersifat material seperti harta, jawatan dan hal-hal duniawi lainnya kerana terlalu naif apabila kita hanya mengharapkan berkat yang bersifat material.

Untuk itu ketika Ummul Mu'minin Aisyah ra bertanya kepada Rasulullah saw, apa yang mesti dibaca apabila mendapatkan Lailatul Qadr?

Maka Rasulullah saw menjawab :
Bacalah " Allahumma innaka afuwun karimun tuhibbul afwa fa'fu `anni" ertinya "Ya Allah Engkau Maha Pemberi maaf dan Maha Mulia, suka kepada kemaafan, maka maafkanlah aku" (HR.Imam Ahmad,Turmudzi dan Ibnu Majah)

Malam Al Qadr adalah satu malam yang suci. Tidak semua orang boleh mencapainya. Manusia tertidur dan setelah itu mereka menyesal kerana mereka kehilangan malam itu. Sementara yang lain pula kelihatan terjaga, tetapi mereka lalai dan oleh kerana itu mereka tidak melihat apa-apa.

Kita memohon kepada Allah Azza wa Jalla agar dapat memperolehi malam suci itu dan dihitung sebagai orang yang berhasil mencapainya.

Ada kekayaan yang nampak dan ada pula kekayaan yang tidak nampak (sesetengah orang kaya di dunia, sementara yang lain kaya di akhirat).
Jika kita datang mendekati mereka yang kaya di dunia ini, mungkin kita akan mendapat sesuatu dan mereka mungkin tidak akan membiarkan kita pulang dengan tangan kosong tetapi, mereka yang kaya di akhirat akan sentiasa memberi.
Siapa yang memberikan wang dan hartanya demi Allah, tidak akan pernah habis dan siapa yang memiliki kedudukan di akhirat akan memberi kepada orang yang mengikuti mereka untuk akhirat.

Pada malam itu, Allah membuka suatu rahmat dari samudera-samuderaNya, sehingga Dia memberikannya secara melimpah ruah kepada orang-orang yang mendapatkan malam itu. Kekayaan dari malam itu juga akan sampai kepada kita, Insyaallah…

Malam itu adalah malam yang paling tinggi barakahnya di antara semua malam. Kita mencuba untuk memenuhi kewajiban kita, tetapi kita tidak mampu untuk berbuat adil kepada Allah swt. Betapa jauhnya diri kita dari melayaniNya menurut cara yang patut bagiNya. Apa yang kita lakukan sebenarnya hanya memiliki nilai simbolik belaka.

Bulan ini berlalu sebegitu cepatnya. Kita berpuasa, tetapi kita bukannya kehilangan hari-harinya, justeru bahkan kekuatan kita terus bertambah. Jika Islam ini bukan yang haq (benar), bagaimana mungkin suatu perintah sejak 15 abad yang lampau masih tetap berlaku dan satu billion manusia melaksanakan puasa?

Sebuah kenderaan tidak dapat berjalan tanpa bahan bakar. Jika tidak ada suatu kekuatan kerohanian yang sedang dan tetap bekerja sejak 15 abad lalu, tentu Islam tidak akan bertahan hingga sekarang. Ada suatu kekuatan penggerak bagi Islam.

Adakah sesiapa yang merasa bosan terhadap suatu mata air yang segar? Saat Ramadhan bermula, hati-hati kita dipenuhi dengan kegembiraan. Jika tidak, tentu mereka bukanlah Muslim.

Siapa yang menghormati malam suci itu tidak akan jatuh ke jurang krisis dan siapa yang tidak menghormati malam itu, dia akan dicatat dan ditandakan oleh malaikat di pagi hari sebagai orang yang tidak melakukan sujud. Allah telah menyeru manusia untuk solat dan mereka tidak memenuhi seruanNya. Segala sesuatunya dicatat, tidak peduli siapa orangnya dan apa kedudukannya.

Bagi setiap manusia, akan tiba hari terakhirnya dan kematian adalah penuh dengan ketidaktentuan. Ianya adalah sedemikian rupa hingga seseorang tidak mahu dan tidak dapat melalui satu malam atau bahkan satu jam di dalam kubur di samping mayat seseorang yang telah mati.
Demikianlah ketakutan di tempat seperti itu. Setiap orang akan bersendirian di kuburnya masing-masing dan hanya ada kegelapan menemaninya.

Berusahalah untuk meninggalkan tubuh kita dalam keadaan bersih demi ruh kita. Adalah penting untuk pergi dalam keadaan suci dan baik agar para malaikat pun menerima kita dengan baik

Ketika seseorang mendapatkan keampunan di malam Al Qadr yang mulia itu, maka ia akan mendapatkan kejernihan dan pencerahan jiwa. Inilah yang akan melahirkan jiwa-jiwa yang sensitif yang sentiasa menilai diri dan meraih tenaga-tenaga dari Allah swt.

Selamat mencari malam Al Qadr dan kita berdoa semoga Allah swt mengurniakan malam yang berkat itu kepada kita.
dipetik dari: http://www.ikram.org.my

No comments: