Thursday, October 15, 2009

LAFAZ RUJUK SAH JIKA KELUAR DARIPADA MULUT SUAMI SECARA IKHLAS.


Soalan: Sebulan lalu saya bercerai dengan isteri dengan talak satu untuk kali pertama. Isteri tidak rela dengan perpisahan berlaku dan menyuruh saya merujuknya semula. Isteri juga melafazkan rujuk ke atas saya yang berbunyi "Saya rujuk semula dengan awak". Saya hanya mengangguk tanda setuju walaupun hati saya sebenarnya masih berbelah bahagi. Saya jadi keliru adakah sah rujuk yang dibuat isteri saya itu atau adakah sah rujuk yang saya buat walaupun dalam keadaan dipaksa. Mamat, Kuala Lumpur.

Jawapan: Rujuk adalah penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Di dalam Islam, Allah meletakkan hak rujuk di tangan suami apabila berlaku perceraian talak rajie selagi isteri masih dalam edah. Allah Taala berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 228: "Dan suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri pada masa edah mereka jika (suami) bertujuan hendak berdamai".

Saidina Umar R.A meriwayatkan, "Rasulullah SAW menceraikan Hafsah, kemudian Baginda kembali rujuk kepadanya". Menurut jumhur ulama, terdapat tiga rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz).


Rukun pertama, suami hendaklah seorang baligh (cukup umur) . Tidak sah rujuk bagi suami belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk suami hendaklah kekal Islam.

Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai edah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.

Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuk itu tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk. Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh edah. Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya edah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.

Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti 'engkau' atau 'nama isteri itu' atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah pula tidak boleh digantungkan (ditaklik) dengan sesuatu. Contohnya suami berkata: "Saya rujuk awak jika awak suka." Atau: " Saya kembali kepada awak jika awak berhenti kerja."


Kewujudan saksi hanya disunatkan. Isteri yang diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri masih suka kepada suaminya. Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukun dan syaratnya adalah sah walaupun rujuk dibuat itu dalam keadaan bergurau.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuk nikah, cerai dan rujuk. Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah.


Seksyen 51(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKI) memperuntukkan bahawa suami hanya boleh rujuk sekiranya berlaku talak rajie dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis tamat edah. Oleh itu suami tidak boleh rujuk jika sekiranya tempoh edah bagi talak rajie itu tamat. Dalam Seksyen 51(9) AUKI jika sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, seperti suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik.


Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya. Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk.


Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231: "Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Janganlah kamu menjadikan ayat hukum itu sebagai ejekan dan permainan".


Dari segi hukum rujuk, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain. Adalah makruh hukumnya bagi rujuk jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya. Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri.

Merujuk kepada kes saudara, saudara mempunyai hak untuk merujuk isteri saudara tapi hendaklah dengan tujuan baik. Kuasa rujuk di tangan saudara sebagai suami tidak kira atas kemahuan isteri mahupun kemahuan saudara walaupun isteri tidak bersetuju dengannya. Bagaimanapun, rujuk yang dibuat oleh isteri adalah tidak sah. Rujuk juga perlu dilafazkan oleh suami menggunakan lafaz yang jelas menunjukkan berlaku rujuk.


Jawapan disediakan Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) >Yusmawati Abllah

6 comments:

er said...

Assalam,
Adakah jatuh talak sekiranya suami menceraikan isteri yang masih / sedang menjalani iddah.

Anonymous said...

Jatuh talak ke2 dan stat idah lain.

ija zaf said...

Salam..tuan/puan berikut saya ingin ceritakan..suami saya telah halau saya keluar dari rumah dan dia cakap jangan balik rumah itu lagi..dia ada juga cakap tapi bukan dekat saya,dia cakap dekat mak mentua saya iaitu mak dia yang saya dengan dia sudah tiada apa2 lg dalam masa yang sama saya dengar apa yang dia katakan pada ...tapi niatnya hanya nak tengok kedegilan saya sahaja..dan dia ada suruh saya balik ke rumahnya semula..soalan saya apakah kami sudah jatuh talak ataupun kami masih lagi suami isteri yang sah??

Mohon penjelasan

fazliana said...

syukran atas perkongsian ilmu ini..tabarakAllah

Jasril Johari said...

sy dh rujuk isteri saya x perlu persetujuan dia kan maka rujuk yg iklas dari saya sah yaa???

Anonymous said...

Sah rujuk...